Deja Vu Tchétché Kipré : ada bayangan benam bekas pasukan
Nadira A. Hamid
November 3, 2023 17:16 MYT
November 3, 2023 17:16 MYT
Memetik frasa kata bahasa Perancis 'deja vu', iaitu fenomena mengalami perasaan yang kuat bahawa sesebuah peristiwa sedang dialami itu, telah dilalui seseorang pada masa lalu.
Begitulah yang dilalui penjaring terbanyak Kuala Lumpur City musim ini, Tchétché Kipré, menjelang sepak mula separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu bekas majikannya, Terengganu.
Penyerang prolifik Liga Malaysia itu berasakan, pertemuan tersebut merupakan 'pentas idaman' buat dirinya menjaringkan gol pertama di Gong Badak sejak meninggalkan skuad Peteh musim lalu.
Kipre masih meniti fasa terbaiknya walaupun sudah menjangkau usia 36 tahun.
Tujuh gol dalam saingan Liga Super dan empat jaringan dalam kempen Piala Malaysia membuktikan penyerang 'otai' itu masih berbisa.
Kipre muncul antara tonggak utama membantu kemaraan The City Boys ke pentas final Piala FA, menidakkan Terengganu di laman keramat mereka Jun lalu.
Atas faktor itu, Kipre sudah ada 'bayangan' bagaimana untuk mengecewakan Terengganu.
Dan paling penting, untuk membuktikan sentuhannya masih dalam kalangan yang terbaik di Liga Malaysia.
Keinginan Kipre tiada batasannya.
Walaupun menyedari rekod sempurna skuad Peteh di peringkat separuh akhir Piala Malaysia sukar digugat, iaitu 10 kali mendahului di perlawanan pertama, dan 10 kali jugalah Terengganu layak ke pentas akhir.
"Iya..ia bukan tiada masa yang sesuai untuk menjaringkan gol, bila-bila masa juga sesuai untuk menjaringkan gol. Kita perlukan jaringan awal dan kita perlukan kemenangan untuk melayakkan diri.. dan untuk layak, kita perlu menjaringkan gol," katanya menerusi wartawan Nadi Arena, Karl Nunis
"Harapnya saya akan berpeluang untuk meledak gol, saya perlu fokus kepada setiap peluang yang terhidang kerana saya tahu peluang menghasilkan gol adalah sukar. Saya perlu manfaatkan peluang dengan lebih klinikal, satu percubaan, satu gol.
"Ini yang saya terapkan dalam minda. Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar, bukan mudah beraksi di Kuala Terengganu, di aksi separuh akhir lagi, di hadapan 40,000 penyokong mereka..bukan mudah. Namun kita pernah lakukanya di Piala FA lalu," kata Tchétché Kipré, empat gol Piala Malaysia 2023.