Skip to main content

Bola Sepak

De Vrij tolak isu kesetiaan dengan Lazio

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

stefan-de-vrij-cropped_14dbv7p0y02m61wpu5f5nt5xsv.jpg
Pemain baru Inter Milan, Stefan De Vrij, menjelaskan dia tidak terlibat dengan mana-mana isu kontroversi membabitkan kesetiaannya bersama Lazio dalam aksi terakhir, musim lalu.

De Vrij dipercayai berada dalam proses untuk menyertai Inter menerusi perpindahan percuma ketika membarisi skuad Lazio menentang bakal majikannya pada hari terakhir saingan Serie A musim lalu.

Pemain pertahanan itu memberikan sepakan penalti sehingga membolehkan Nerazzurri bangkit untuk meraih kemenangan 3-2 sambil keputusan itu membolehkan Inter meraih tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim 2018/19.

Perpindahan De Vrij disahkan bulan ini tetapi ketika bercakap kepada media semalam, pemain berusia 26 tahun itu menjelaskan dia memberikan sepenuh kudrat sewaktu bersama pasukan lamanya.

"Saya bersimpati dengan perlawanan terakhir tetapi sesiapa yang mengenali saya dan bekerja dengan saya di Lazio tahu bagaimana saya berusaha untuk memberikan yang terbaik," ujar De Vrij.

"Perlukah saya beraksi semula dalam perlawanan itu? Perkara sudah berlalu dan saya melihat cermin, tahu bahawa saya sering memberikan segala-galanya sehingga ke detik terakhir."

Barcelona, Liverpool dan Manchester United turut dikaitkan dengan perpindahan De Vrij sebelum dia mengumumkan memilih Inter sebagai destinasi baru.

Bagaimanapun, bekas benteng Feyenoord itu menegaskan keinginan untuk kekal dalam Serie A menjadi kunci utama dirinya masih di Itali.

"Saya memilih Inter kerana kepercayaan yang diberikan oleh kelab kepada saya. Tiada siapa yang mahukan saya seperti mereka.

"Saya percaya dengan projek mereka dan kami mempunyai objektif yang sama. Saya yakin bahawa pilihan tepat telah dibuat."
 

Advertisement

Must Watch Video