Bekas bintang Manchester United, David Beckham, percaya dia mengenali individu yang sesuai untuk mengambil alih dan memulihkan nasib kelab itu.

Bercakap kepada Sky Sports dalam GP Prix Qatar ketika saga pengambilalihan yang sedang berlangsung di Old Trafford menghampiri ulang tahun pertamanya, presiden Inter Miami berusia 48 tahun itu mengakui dia mengharapkan perhatian daripada keluarga Glazer dengan lebih awal.

Ditanya adakah kemenangan ke atas Brentford dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), tengah malam tadi, mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan yang mahu dijelmakan Erik ten Hag, Beckham memberitahu Sky Sports: “Ayuh kita lihat.

“Dia seorang jurulatih yang bagus. Mereka sedang mengharungi tempoh sukar tetapi terdapat banyak cakap-cakap di sekeliling kelab pada masa ini, jadi ia bukan mudah buatnya.


A post shared by Sky Sports (@skysports)



“Kami semua mahu desas-desus ini lenyap dan kami semua mahu keputusan dibuat demi kelab, peminat, pemain termasuk pengurus kerana kami adalah salah satu kelab terbesar di dunia. Dunia dan kami mahukan kestabilan, dan saya fikir itu perkara yang paling penting.

“Kami semua mempunyai pilihan tersendiri tetapi di kaca mata bekas pemain dan peminat, kami adalah nombor satu dan kami mahu kembali ke puncak.

“Saya percaya saya kenal calon tepat untuk berbuat demikian."

Ditanya adakah individu yang dimaksudkan adalah Sheikh Jassim, Beckham menambah sambil tersenyum: "Kita lihat nanti."