LIGA SUPER MSIA
Daniel Amier perlu buktikan perwatakan sebenar -- Nidzam
Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, mengharapkan perwatakan sebenar daripada Daniel Amier Norhisham menjelang pembukaan Liga Super 2020 bulan depan.
Pemain tengah itu antara yang dicanang sebagai tonggak yang mampu membantu skuad B-23 negara dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.
Bagaimanapun, dia gagal memenuhi tuntutan itu meskipun memiliki pengalaman bersaing di peringkat tertinggi.
Iklan
Akibatnya, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam temasya di Filipina itu.
Justeru, Daniel Amier perlu bangkit daripada kekecewaan itu dan Nidzam sedia membantu anak didiknya itu untuk kembali ke tahap sebenar.
"Mengenalinya selama tiga tahun di Felda, saya percaya dia adalah salah seorang pemain tengah terbaik tempatan.
"Jika dia betul-betul mahu dan berkeinginan, amat mudah untuk dia menjadi pemain terbaik di Malaysia.
"Tetapi dia perlu bangkit.
"Saya rasa musim lalu bukanlah musim terbaik untuknya," katanya.
Tambah Nidzam, musim baru ini merupakan pentas terbaik buat pemain tengah itu membuktikan prestasinya seandainya mahu bertahan lama dalam industri bola sepak tempatan.
"Dia tidak boleh lagi menganggap dirinya sebagai pemain muda.
"Dia perlu menjadi abang dalam pasukan ini.
"Dia perlu diberikan kembali kepercayaan dan saya rasa dengan dorongan dan bantuan semua, saya akan membantunya untuk menjadi pemain yang lebih baik tahun ini," tambahnya.
Editor: Muzaffar Musa
Must-Watch Video