BOLA SEPAK
Daniel Amier idam tempat dalam Harimau Malaya
Pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham, mengintai tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas pulih daripada kecederaan retak tulang kaki kanan yang dialaminya tiga bulan lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu, yang lebih mesra dengan panggilan Boy dalam kalangan rakan sepasukan, mengakui agak kecewa kerana terpaksa diketepikan, terutama dalam panggilan bersama skuad B-23 kebangsaan sebelum ini susulan beberapa kecederaan yang dialaminya sehingga menjejaskan prestasi.
Justeru, dia bertekad untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam sesi latihan pusat skuad negara yang sedang berlangsung untuk memastikan namanya terpilih dalam senarai akhir 23 pemain ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula awal bulan depan.
Iklan
"Alhamdulillah, kehadiran Boy diterima baik oleh rakan sepasukan,terutama pemain senior yang banyak menolong sejak bermulanya sesi latihan skuad kebangsaan, Ahad lalu," katanya.
"Setelah mendapat panggilan daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, susulan prestasi cemerlang bersama Felda, saya mahu beri persembahan lebih baik lagi bersama pasukan kebangsaan."
Dalam masa sama, Daniel Amier mengakui pengalaman membantu Felda kekal dalam saingan Liga Super musim depan menjadi azimat terbaik untuknya menemui kembali sentuhan cemerlangnya di pentas antarabangsa.
"Kami tahu ramai pemain Felda yang lebih senior telah meninggalkan pasukan, jadi saya ambil tanggungjawab yang diletakkan oleh ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil, bagi membantu pasukan kekal dalam saingan Liga Super," katanya yang gembira kerana dapat disenaraikan buat julung kalinya bersama skuad kebangsaan.
Untuk rekod, nama Daniel Amier mula dikenali penyokong skuad bola sepak tempatan selepas menjaringkan gol tunggal ketika Malaysia menewaskan Arab Saudi 1-0 dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Januari tahun lalu, sekali gus membantu Malaysia melakar sejarah mara sehingga ke peringkat suku akhir buat julung kalinya.
Sementara itu, pertahanan negara, Syahmi Safari, bersedia memberi saingan sengit kepada kapten Pahang, Matthew Davies, untuk mengisi slot pertahanan kanan dalam skuad kendalian Cheng Hoe itu selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Meskipun dipanggil untuk beraksi dalam dua posisi berbeza ketika mewakili Selangor dan skuad kebangsaan, dia menganggap ia tidak menjadi masalah baginya menyesuaikan diri dengan cepat.
Dia juga menambah pengalaman berdepan pemain import dalam kancah Liga Malaysia memberi keyakinan kepadanya untuk berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, Jordan, Jumaat ini.
"Tiada masalah kerana saya kini telah cergas dan pulih sepenuhnya. Kini, saya boleh berikan komitmen 100 peratus tetapi segalanya bergantung kepada keputusan jurulatih.
"Sebelum ini, dalam Liga Malaysia pun, saya telah berdepan pemain luar, jadi tiada masalah dan saya yakin kepantasan tenaga tempatan mampu menambahkan kekuatan pasukan kebangsaan," katanya.
Cheng Hoe bakal menggugurkan empat pemain daripada senarai 27 pemain ketika ini selepas aksi pemanas badan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Must-Watch Video