Skip to main content

Bola Sepak

Cutrone, Chiesa masa depan Azzurri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

patrick-cutrone_1.jpg
Jurulatih Itali, Luigi Di Biagio, percaya dua muka baru, Patrick Cutrone dan Federico Chiesa, merupakan tonggak masa depan yang cerah untuk pasukan kebangsaan.

Kedua-dua penyerang muda itu tersenarai dalam skuad 26 pemain untuk perlawanan persahabatan menentang Argentina dan England bulan ini dengan mengorbankan pemain yang lebih berpengalaman seperti Mario Balotelli dan Simone Zaza.

Itali terdesak untuk memulihkan imej susulan kegagalan layak ke Piala Dunia 2018, justeru Di Biagio berharap Cutrone dan Chiesa dapat menunjukkan kemampuan mereka di peringkat senior.

"Dengan sedikit kesabaran, kami boleh membina semula pasukan utama. Terdapat ramai pemain muda dan mereka sedang berkembang," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya memanggil Cutrone kerana prestasi, semangatnya dan kerana peralihannya di peringkat pasukan remaja, bermula dari tahap B-15 serta dia tahu apa yang saya mahukan. Dia tidak pernah cedera.

"Chiesa bersedia untuk kekal di sini tetapi itu bergantung kepada apa yang berlaku dalam liga dan usaha dalam latihan dan perlawanan"

"Tujuannya ialah bermain dengan baik dengan gaya menarik. Jika anda bermain dengan baik, maka dalam 10 perlawanan anda akan diturunkan sebanyak lapan kali.

"Bagi saya, bermain dengan baik bermakna mempunyai keberanian untuk mencerobohi kawasan lawan tanpa mengira kualiti pasukan yang dihadapi. Ini bermakna, memberi sokongan ketika dalam serangan, memberi tekanan ke atas lawan dan tidak gentar untuk menyekat pemain terbaik lawan. 

"Ini adalah sebuah pasukan yang terdiri daripada pemain-pemain yang saya lihat telah berkembang, kami perlu bermula dengan pendekatan yang betul. 

"Kami bukanlah yang terhandal di dunia, namun kami juga bukan antara yang paling teruk," katanya lagi.

Balotelli diketepikan meskipun menyumbat 14 gol dalam 21 perlawanan Ligue 1 untuk Nice musim ini, begitupun Di Biagio akan terus memantau prestasi penggempur itu.

"Saya akan mengikuti perkembangannya dan kita akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa bulan akan datang," katanya. 

"Gol sangat penting tetapi ia haruslah setanding dengan persembahan mereka. Ini penilaian saya dan saya membuat keputusan demi kebaikan pasukan."

Penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon, turut menyertai skuad setelah membatalkan keputusannya untuk bersara di peringkat antarabangsa. Sehubungan itu, Di Biagio berharap dapat bergantung kepada pengalamannya.

"Gigi ada di sini malah dia juga mahu beraksi, membantu saya dan memberi nilai tambahan di atas padang," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video