Skip to main content

Bola Sepak

Cruz sedia gempur Gergasi Merah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

patrick-cruz-pahang.jpg
Penyerang Pahang, Patrick Dos Santos Cruz, sudah bersedia untuk turun beraksi walaupun masih trauma dengan insiden kepalanya ditetak sekumpulan individu tidak dikenali pada penghujung bulan lalu.

Disebabkan insiden itu, kepala Cruz mengalami kecederaan serius sehingga menerima 18 jahitan.

Malah, adiknya turut menjadi mangsa keadaan apabila mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Masih kabur dengan motif di sebalik serangan berkenaan, dia mengakui peristiwa itu kekal sebagai detik paling pahit dalam hidupnya.

"Sudah tentu, fizikal saya dalam keadaan baik kerana dapat pulih dengan segera.

"Masalahnya adalah dari sudut mental. Dalam tempoh seminggu pertama kejadian ini berlaku, setiap malam saya pasti teringatkan peristiwa tersebut.

"Bagaimanapun, saya kini berada baik," kata penyerang dari Brazil itu. 

Berdepan Selangor di Stadium Shah Alam malam esok, Cruz bersedia jika jurulatih, Dollah Salleh, memberi peluang kepadanya untuk diturunkan.

Bagi Cruz, aksi dengan Selangor sentiasa ada kenangan istimewa buat dirinya selain menewaskan pasukan itu di pentas final piala FA.

"Saya membuat dua penampilan sulung di sini (menentang Selangor).

"Yang pertama ketika menang 3-1 ke atas mereka dalam Liga Super pada Februari lalu dan yang kedua, ketika menjuarai Piala FA. Saya menyumbat gol dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

"Saya tidak pasti akan beraksi malam esok. 

"Saya sentiasa menggemari aksi di Shah Alam dan kalau diturunkan, saya akan berikan aksi terbaik. Bukan untuk saya tapi demi pasukan," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video