Pemain antarabangsa Portugal itu dilaporkan telah memohon untuk meninggalkan Old Trafford bagi menyertai sebuah kelab yang beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).
United tidak mampu menawarkannya bola sepak di tahap itu selepas kelab berkenaan hanya menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Ronaldo menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak dalam musim pertama sekembalinya ke United dengan 24 gol, tetapi dia tidak muncul dalam jelajah pra-musim ke Thailand dan Australia apabila hanya kembali beraksi dalam perlawanan persahabatan ketika 1-1 dengan Rayo Vallecano, Isnin lalu.
Kontroversi terus menyelubungi Ronaldo -- yang memulakan permainan sebelum memberi laluan kepada Amad Diallo dalam babak kedua -- apabila meninggalkan Old Trafford ketika separuh masa kedua sedang berlangsung.
Saha beraksi di samping Ronaldo dalam penggal pertama pemain berusia 37 tahun itu di kelab berkenaan sambil percaya bekas rakan sekerjanya tersebut perlu melihat gambaran yang lebih luas.
"Dalam beberapa cara, dari sudut pandangan Cristiano Ronaldo adalah agak tidak realistik untuk meminta kelab sebesar ini menyesuaikan diri dengannya dan impiannya," kata Saha kepada Sky Bet dalam petikan yang dilaporkan oleh beberapa akhbar Britain.
Not long to go, Reds ?#MUFC || #MUNBHA
— Manchester United (@ManUtd) August 3, 2022
“Saya bukan Cristiano tetapi sebagai seseorang yang kelihatan seperti penyokong Manchester United, saya berasakan dia tidak menunjukkan sepenuhnya perkara itu, dia memikirkan tentang dirinya sendiri.
“Saya tidak dapat menilainya kerana dia seorang pemain yang hebat dan saya tidak berada di kedudukannya, tetapi saya lebih gemar jika dia kekal kerana dia seorang pemain yang hebat.
"Tiada siapa boleh menilai tindakannya pada masa ini kerana ia adalah mengenai hala tuju kerjayanya tersendiri."
Di sebalik keinginan Ronaldo yang dilaporkan untuk pergi, beberapa kelab gergasi Eropah telah menjauhkan diri daripada pemain berusia 37 tahun itu.