EVERTON 1 MAN UTD 2

Pengurus Manchester United, Eric ten Hag, percaya lebih banyak ledakan berbisa daripada Cristiano Ronaldo akan muncul selepas gol ke-700 peribadinya di peringkat kelab membantu mereka kembali ke landasan kemenangan.


Selepas dimalukan Manchester City minggu lalu, The Red Devils mendaki tangga kelima berikutan kemenangan kelima dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Begitupun, mereka terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal di Goodison Park, awal pagi tadi, selepas rembatan Alex Iwobi dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, David De Gea.

Namun, anak buah Ten Hag segera mengimbangi kedudukan 1-1 melalui Antony sebelum pengumpannya, Anthony Martial, terpaksa digantikan dengan Ronaldo akibat masalah belakang.



Ketua pasukan Portugal itu mengambil kesempatan berkenaan untuk merakamkan jaringan kemenangan mereka dalam babak pertama.

"Ia cukup mengagumkan," kata Ten Hag.

"Apabila anda menjaringkan 700 gol, ia adalah satu persembahan yang hebat. Saya sangat gembira buatnya, saya ingin mengucapkan tahniah atas prestasi itu dan saya juga gembira ia adalah gol pertamanya musim ini dalam liga. Dia terpaksa menunggunya dan saya pasti akan ada lebih banyak lagi gol yang menyusul.

"Saya fikir setiap pemain memerlukannya, walaupun anda adalah yang terbaik di dunia, anda memerlukannya, anda memerlukan gol.

"Saya pernah bekerjasama dengan ramai penjaring gol dan mereka memerlukannya dalam setiap musim untuk mempunyai rentak, ia bertujuan mengesahkan naluri anda.

"Apabila mereka mula mencetak beberapa gol, bilangannya akan meningkat dan permainan anda menjadi lebih mudah dan ia akan berlaku terhadapnya juga."