CPFAMY sudah lapor MPM ke Pesuruhjaya Sukan

Saufi Tahir
November 23, 2024 20:18 MYT
Presiden Persatuan Bolasepak Cerebral Palsy Malaysia (CPFAMY), Abdul Majid Mat, berasakan pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) seharusnya memberikan sokongan padu dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia berbanding menafikan permohonan persatuan itu untuk menjadi ahli gabungan MPM.
Dia menjelaskan bahawa pihak CPFAMY sebelum ini sudah memohon untuk menjadi ahli gabungan MPM sejak tiga tahun lalu tetapi tidak diendahkan oleh badan induk itu.
"Pihak Persatuan Bolasepak Cerebral Palsy Malaysia yang baru sudah memohon untuk bergabung dengan MPM tiga tahun lepas tetapi tidak diendahkan.
"Sebenarnya ada pihak di dalam MPM yang tidak menyukai persatuan kami, malah cuba untuk menguasai persatuan ini dengan berbagai helah.
"Sejak persatuan ini dihidupkan kembali, kami telah dinafikan hak untuk menyertai Sukan Para di Solo 2022 dan kelayakan Asia Oseania di Australia pada awal tahun ini.
"Sepatutnya MPM membantu persatuan untuk maju ke depan dan menjulang nama negara bukannya menyekat persatuan.
"Aduan secara rasmi telah dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan. Kami memohon pesuruhjaya sukan menyiasat aktiviti membuli macam ini." katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman Nair, ketika dihubungi menjelaskan akan melakukan semakan terlebih dahulu mengenai permohonon yang dilakukan oleh CPFAMY itu.
"Saya akan menyemak kembali permohonan mereka." tambahnya.
#MPM #CPFAMY #Persatuan Bolasepak Cerebral Palsy Malaysia
;