COVID-19: Diego Simeone diuji positif

Muzaffar Musa
September 13, 2020 09:42 MYT
Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, disahkan positif ujian koronavirus, demikian diumumkan kelab LaLiga itu.
Seluruh pasukan dan staff kejurulatihan Atletico menjalani ujian saringan COVID-19 kelmarin selepas kembali daripada kem latihan pramusim di Los Angeles.
Ujian terbaru itu dilakukan selepas salah seorang ahli pasukan itu yang namanya tidak didedahkan disahkan positif virus berkenaan Khamis lalu.
Simeone kini menjalani tempoh kuarantin dan tidak menunjukkan sebarang gejala.
"Analisis terhadap beberapa sampel baru di makmal telah mendapati jurulatih kami, Diego Pablo Simeone, didapati positif COVID-19.
"Mujurlah pegawai kami itu tidak mengalami sebarang gejala dan sedang berada di rumahnya untuk menjalani tempoh pengasinngan selepas diasingkan daripada pasukan ini sejak Isnin lalu."
Atletico sepatutnya akan berkunjung ke Cadiz bagi satu perlawanan persahabatan Selasa ini sebelum memulakan kempen LaLiga mereka dengan menentang Granada pada 27 September ini.
Skuad kendalian Simeone itu akan memulakan kempen domestik musim 2020-21 sedikit lewat selepas penglibatan mereka dalam pusingan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, di mana mereka tewas 1-2 kepada RB Leipzig dalam suku akhir.
#Diego Simeone #Atletico Madrid #LaLiga