Skip to main content

Bola Sepak

Coupe de France: Nice ke final selepas 25 tahun

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nice.jpg
NICE 2 VERSAILLES -0

Nice di bawah bimbingan Christophe Galtier menundukkan kelab kerdil, Versailles, untuk menempah tiket final Coupe de France, sebelum pengurus itu mengisytiharkan: "Saya tidak sabar untuk melihat Stade de France dengan lautan warna merah dan hitam."


Nice mara ke perlawanan akhir buat julung kalinya dalam tempoh 25 tahun sementara Nantes dan Monaco akan berentap awal pagi esok bagi menentukan satu lagi slot final di Paris, Mei depan.

Nice yang kini dimiliki oleh jutawan British, Jim Ratcliffe, dan memasang cita-cita besar kerana selain melangkah ke perlawanan akhir, mereka turut menduduki tempat ketiga Ligue 1. 

Ini bermakna mereka bermula sebagai pasukan pilihan ketika menentang kelab divisyen empat itu awal pagi tadi. 

Jaringan Amine Gouiri dan Kasper Dolberg dalam separuh masa kedua menjamin kemenangan 2-0 tuan rumah walaupun pada awalnya mereka gugup sebelum lebih garang sebaik sahaja mendahului.

"Terdapat tekanan tinggi sebelum perlawanan ini," kata pengurus itu. 


 

"Ramai yang mahu melihat pemain amatur menewaskan pemain profesional. Kegembiraan kami tidak sama seperti selepas kejayaan menentang Paris Saint-Germain (PSG) atau Marseille. Ia lebih melegakan dan memuaskan."

PSG serta Marseille disingkirkan Nice di peringkat sebelum ini dan anak buah Galtier itu perlu bersiap untuk menyambut kunjungan gergasi dari Paris berkenaan di Allianz Riviera untuk tugasan Ligue 1, Ahad ini. 

“Kami perlu pulih dengan segera untuk bermain perlawanan besar menentang PSG,” katanya lagi. 

"Tetapi kami amat kegembiraan dan lega. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk melihat Stade de France dalam warna merah dan hitam."

Advertisement

Must Watch Video