Corak permainan Malaysia perlu berubah -- Reduan Abdullah

Ammar Hakim
Oktober 15, 2024 18:43 MYT
Kejuaraan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 tampak jadi satu-satunya peluang buat jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, membuktikan kewibawaan untuk kekal membimbing skuad kebangsaan.
Tatkala prestasinya akan dinilai Persatuan Bola Mepak Malaysia (FAM) sebaik kempen berkenaan berakhir Disember ini, keyakinan awal gagal diraih jurulatih dari Sepanyol itu rentetan kekalahan 0-4 di tangan New Zealand.
Skuad negara selamat tiba di tanahair semalam selepas berkampung selama sembilan hari di Auckland dengan mengharungi dua perlawanan persahabatan.
Seri 1-1 bertemu pasukan berstatus kelab Auckland FC sebelum kecundang di tangan All Whites, wajah pemain negara kelihatan sugul tatkala Pau Marti enggan memberikan komen lanjut.
Bekas pemain negara, Reduan Abdullah, menegaskan kekalahan itu perlu jadi 'wake up call' buat jurulatih dari Sepanyol itu walaupun berjaya membawa pasukan menjuarai saingan Pestabola Mardeka.
"Corak permainan kita perlu berubah. Itu yang perlu dilakukan. Perubahan drastik perlu dilakukan untuk pergi ke tahap lebih tinggi," katanya menerusi Nadi Arena.
Skuad negara yang menghuni ranking ke-132 dunia gagal membendung kehebatan lawan di ranking ke-95 dunia apabila dibolosi semua empat gol pada babak kedua perlawanan.
Ia sekali gus menyerlahkan kelompongan di semua posisi tatkala aksi seterusnya bertemu India di tempat lawan pada 19 November depan juga jadi satu tugasan mencabar buat Harimau Malaya.
"Bukan Malaysia tidak boleh bersaing dengan pasukan Asia atau Eropah, kita perlu melihat semula kelemahan pasukan kita terlebih dahulu. Liga yang kompetitif amat penting dalam usaha meningkatkan bola sepak Malaysia."
#bola sepak #Malaysia #Harimau Malaya
;