LA LIGA
Copa del Rey: Tandukan Gonzalo Garcia bawa Los Blancos ke separuh akhir
Real Madrid mara ke peringkat separuh akhir Copa del Rey dengan penuh dramatik selepas jaringan saat akhir Gonzalo Garcia memastikan kemenangan 3-2 ke atas Leganes di Estadio Municipal de Butarque, awal pagi tadi.
Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu, yang melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama, pada awalnya tampak selesa dengan kelebihan dua jaringan gol, namun terpaksa berhempas pulas selepas tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan sebelum akhirnya meraih kemenangan.
Segalanya kelihatan berjalan lancar buat Madrid apabila Rodrygo bertindak selaku perancang untuk jaringan pembukaan Luka Modric seawal minit kelapan.
Iklan
Endrick kemudiannya menggandakan kelebihan Los Blancos pada minit ke-25 menerusi satu penyudah klinikal.
Bagaimanapun, tujuh minit sebelum babak pertama berakhir, Leganes dihadiahkan sepakan penalti susulan Jacobo Ramon didapati menyentuh bola dengan tangan di dalam kotak penalti.
Juan Cruz dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk merapatkan jurang.
Leganes, yang hanya tampil dalam suku akhir Copa del Rey buat kali kedua dalam sejarah mereka, terus memberikan tentangan hebat dan akhirnya menyamakan kedudukan sebelum sejam permainan berlangsung.
Juan Cruz melakukan gerakan satu-dua bersama Darko Brasanac sebelum rembatannya yang terkena Raul Asencio menewaskan Andriy Lunin.
Ancelotti kemudian memasukkan Vinicius Junior pada separuh masa kedua bagi menambah sengat serangan.
Pemain sayap Brazil itu hampir meletakkan Madrid kembali di depan tetapi percubaannya sekadar menggegar tiang gol, sementara Brahim Diaz turut dinafikan oleh palang gol.
Namun, detik kemenangan akhirnya tiba pada minit ketiga masa kecederaan apabila Brahim Diaz melakukan hantaran silang ke tiang dekat yang disudahkan dengan tandukan padu oleh pemain gantian berusia 20 tahun, Gonzalo Garcia, sekali gus memastikan kemaraan Madrid ke separuh akhir.
🤩 Gonzalo and his unforgettable first goal for Madrid: "It was a dream since I joined the youth academy"🎙️ Full interview ➡️ RM Play— Real Madrid C.F. 🇬🇧🇺🇸 (@realmadriden) February 5, 2025
Madrid melangkah ke separuh akhir Copa del Rey buat kali ketiga dalam tujuh penampilan terakhir mereka di peringkat suku akhir.
Luka Modric pula membuka tirai jaringan dengan gol ketiganya dalam sembilan penampilan musim ini, jumlah yang sama seperti yang direkodkannya dalam 107 perlawanan sebelum ini bersama Los Blancos.
Sementara itu, Madrid sekali lagi diberikan amaran selepas menghadiahkan sepakan penalti keenam mereka musim ini, jumlah kedua tertinggi dalam saingan Sepanyol selepas Las Palmas (sembilan), serta Girona dan Alaves (masing-masing tujuh)
Must-Watch Video