BOLA SEPAK
Copa del Rey: Hazard, Isco balas kepercayaan Real Madrid
ELCHE 1 REAL MADRID 2
Carlo Ancelotti mengakui Eden Hazard dan Isco mungkin kecewa dengan peranan terhad mereka bersama Real Madrid, tetapi pengurus itu mengakui kini bergantung harap kepada kedua-duanya untuk meneruskan kemaraan.
Hazard dan Isco hanya memulakan 10 perlawanan di antara mereka dalam semua kejohanan musim ini dan sekali lagi berada di bangku simpanan untuk pertembungan Copa del Rey di Elche, awal pagi tadi.
Isco dimasukkan di penghujung perlawanan ketika mereka buntu tanpa jaringan sebelum giliran Hazard diperkenalkan dalam masa tambahan.
Pasangan itu sukar menjelmakan impak segera memandangkan Marcelo dilayangkan kad merah pada minit ke-102 dan seminit selepas itu, Gonzalo Verdu membuatkan penyokong Elche bersorak dengan gol pembukaan perlawanannya, tetapi mereka berdua akhirnya kembali menghidupkan peluang Real Madrid.
Isco menjaringkan gol penyamaan (minit ke-108) sebelum gol pertama Hazard musim ini menyusul (minit ke-115) untuk menghantar Madrid lebih jauh.
Laporan minggu lalu berkata Madrid sedia menerima tawaran daripada Newcastle United untuk khidmat Hazard, tetapi pemain berkenaan menolak perpindahan itu.
Ancelotti tumpang gembira sambil mendedahkan bahawa dia sememangnya yakin dengan kemampuan kedua-dua anak buahnya itu dengan berkata: "Saya tahu bahawa perubahan boleh memberi rangsangan kepada pasukan dan mereka telah memberikannya.
"Hazard dan Isco telah membantu kami memenangi perlawanan ini. Ia memberi makna yang besar. Mungkin mereka layak beraksi lebih kerap tetapi ia sudah pun berlalu dan kami perlu lihat ke depan.
“Saya sedar bahawa saya boleh bergantung kepada mereka dan skuad ini mempunyai segala-galanya, perwatakan yang luar biasa, sedia menghadapi cabaran sukar dan tidak pernah berputus asa.
"Saya sangat gembira. Saya fikir ini adalah satu perlawanan yang paling membuatkan saya bahagia."