Penganjuran Copa America kian bercelaru apabila Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) menggugurkan Argentina daripada menjadi penganjur kejohanan itu berikutan situasi pandemik koronavirus di negara berkenaan.

Argentina pada awalnya dirancang untuk mengambil alih Kejohanan Amerika Selatan itu di Buenos Aires bermula 13 Jun ini selepas badan lengelola berkenaan melucutkan hak Colombia selaku tuan rumah gara-gara protes antikerajaan dan kebimbangan penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Argentina juga tidak akan menganjurkan kejohanan berkenaan -- yang telah ditunda setahun berikutan pandemik sejagat berkenaan -- di mana CONMEBOL masih mencari negara tuan rumah baru yang lebih sesuai.

Chile, Paraguay dan Amerika Syarikat antara yang disebut-sebut untuk dipilih sebagai negara penganjur kejohanan itu.

"CONMEBOL memaklumkan bahawa berdasarkan keadaan terkini, adalah diputuskan untuk menangguhkan perkembangan Copa America di Argentina." kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.

"CONMEBOL akan menganalisis beberapa tawaran daripada negara lain yang menunjukkan minat dalam menganjurkan kejohanan serantau ini."