Tuan rumah, Amerika Syarikat, terpaksa bermain hampir 70 minit dengan 10 pemain berikutan kad merah dilayangkan kepada Timothy Weah, menyaksikan jaringan lewat José Fajardo kembali menghidupkan saingan Kumpulan C Copa America di Atlanta ketika berbaki satu perlawanan.

Dalam misi untuk meneruskan tradisi 37 tahun di mana tiada pasukan tuan rumah tersingkir daripada peringkat kumpulan, Gregg Berhalter menurunkan kesebelasan utama terbaik ketika meraih kemenangan ke atas Bolivia.

AS berjaya membuka jaringan menerusi Weston Kennie namun VAR membatalkannya apabila rakan sepasukan, Tim Ream berada dalam kedudukan ofsaid.

Malang mula menimpa tuan rumah apabila Weah diarah keluar padang berikutan terjahan keras yang dinilai menerusi VAR.

Namun, ia tidak mematahkan peluang AS untuk membuka jaringan pada minit ke-22 apabila Folarin Balogun melepaskan rembatan deras menembusi gawang.

Kegembiraan mereka itu sekadar bersifat sementara apabila César Blackman menjaringkan gol pertama di peringkat antarabangsa sekaligus menyamakan kedudukan buat Panama.

AS mengerah keringat menyerap asakan Panama sepanjang perlawanan sehinggalah mereka berjaya ditembusi ketika perlawanan berbaki tujuh minit, José Fajardo menampan masuk hantaran silang Abdiel Ayarza sekaligus memastikan kemenangan bergaya Panama di Atlanta.

Ia adalah detik krisis bagi negara tuan rumah, yang kini mengetahui mereka perlu mendapatkan sesuatu ketika menentang pasukan Uruguay dalam perlawanan terakhir kumpulan jika mereka berharap untuk mara, manakala Panama yang turut menyaksikan Adalberto Carrasquilla dibuang padang pada lewat, bakal berdepan menentang Bolivia.