PIALA DUNIA
CONMEBOL saran Brazil ubah simbol bintang di jersi tanda hormat buat Pele
Ketua bola sepak Amerika Selatan menggesa Brazil supaya menukar tiga daripada lima simbol bintang di jersi mereka kepada tanda hati sebagai penghormatan kepada Pele.
Jersi Brazil ketika ini menggunakan lima bintang bagi mewakili lima kejayaan dalam Piala Dunia.
Tiga daripada detik manis itu adalah ketika Pele dalam skuad itu selain masih tiada pemain lain yang mampu menyumbangkan lebih banyak gol berbandingnya dalam skuad Samba berkenaan.
Iklan
Neymar kini terikat rekod jaringan dengan Pele menerusi jaringan ke-77 ketika tumpas dalam suku akhir Piala Dunia kepada Croatia, kelmarin.
Kekecewaan itu berlaku selepas berita Pele dimasukkan ke hospital di Sao Paulo.
Dan laporan mengatakan keadaan Pele, 82, makin pulih.
Konfederasi Amerika Selatan (CONMEBOL) turut menyampaikan ucapan selamat kepada Pele sambil mencadangkan Brazil membuat perubahan jersi mereka.
??? Em evento no Catar, a CONMEBOL enviou uma mensagem de apoio a @Pele e propôs a mudança de três estrelas por três corações na camisa da @CBF_Futebol.— CONMEBOL.com (@CONMEBOL) December 11, 2022
Mereka berkata dalam satu kenyataan: "Beratus-ratut orang berkumpul di CONMEBOL Tree Of Dreams di Doha, Qatar, hari ini bagi memperingati Edson Arantes do Nascimento yang dikenali sebagai Pele, satu-satunya pemain dalam sejarah bola sepak yang memenangi tiga gelaran dunia.
“Sebagai penghormatan kepada peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, CONMEBOL ingin mencadangkan kepada Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) agar mereka menggantikan tiga daripada lima simbol bintang Piala Dunia yang tersemat di jersi mereka kepada bentuk hati sebagai pengiktirafan buat Pele.
"Tindakan ini bagi menghantar mesej dorongan dan kekuatan kepada Pele yang dimasukkan ke Hospital Albert Einstein di Sao Paulo sejak 29 November, di mana menurut doktor dia dalam pemulihan yang memuaskan daripada jangkitan paru-paru."
Must-Watch Video