BUNDESLIGA
Coman, Gnabry layak ganti Robben, Ribery -- Pizarro
Serge Gnabry dan Kingsley Coman berkeupayaan untuk mengambil tempat Arjen Robben dan Franck Ribery, kata bekas penyerang Bayern Munich, Claudio Pizarro.
Ribery dan Robben bakal meninggalkan Allianz Arena pada penghujung musim ini.
Beberapa usaha Bayern untuk menandatangani pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi, ditolak kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Januari lalu.
Iklan
Bagaimanapun, Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic, memberi isyarat bahawa Bayern mungkin akan membuat tawaran lagi dalam usaha memancing pemain antarabangsa England itu, namun Pizarro berasakan pengganti kepada kelibat Ribery dan Robben mungkin sudah ada di kelab berkenaan.
"Saya fikir mereka layak untuk menggantikan kedua-duanya," kata Pizarro, yang kini bersama pasukan di tangga keempat, Werder Bremen, kepada Omnisport.
"Pada tahap tertentu, anda perlu berhenti (merujuk kepada Robben dan Ribery) manakala pemain baru akan tiba.
"Ini adalah sesuatu yang normal sementara sentuhan Coman dan Gnarby cukup bagus. Mereka akan berkembang dengan baik dan akan membawa kebaikan buat Bayern.
"Saya ingin bermain di samping mereka (Robben dan Ribery) tetapi saya masih tidak tahu lagi perancangan mereka.
"Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka. Seperti yang saya katakan, saya harap hasrat mereka akan tercapai setelah meninggalkan Bayern.
"Saya amat mengenali Arjen kerana kami sempat beraksi bersama-sama di Chelsea selama semusim. Sejak itu, hubungan kami sangat baik di dalam dan di luar padang. Saya sangat gembira apabila dia kembali beraksi selepas ditimpa kecederaan.
"Kedua-duanya adalah pemain yang istimewa di bahagian sayap, mereka akan menjadi tonggak penting buat mana-mana pasukan sekalipun. Mereka boleh berdepan situasi lawan satu dan menjaringkan gol penting."
Pizarro menyumbat gol yang mampu menjadi penentu pemburuan gelaran liga yang menyaksikan jaringannya itu membantu Werder mengikat Borussia Dortmund 2-2 di laman lawan, awal bulan ini, yang menyebabkan seteru mereka itu tercicir dua mata di belakang pendahulu, Bayern, menjelang aksi terakhir Bundesliga, hujung minggu ini.
Werder akan mengharungi perlawanan terakhir di tempat sendiri apabila melayani kunjungan RB Leipzig untuk skuad bimbingan Florian Kohfeldt itu berpeluang menamatkan kempen di kedudukan ketujuh.
"Sentuhan Kohfeldt sangat bagus," kata Pizarro, 40.
"Dia seorang jurulatih yang boleh mengawal pemain dan dia menyuntik keyakinan kepada pemain.
"Taktik yang diterapkannya sangat hebat, dia melakukannya dengan baik dan saya fikir dia akan menjadi jurulatih yang baik, dia menuju ke arah yang betul. Dengan pengalaman lebih luas kelak, dia akan menjadi salah seorang jurulatih terbaik di Jerman."
Ditanya apakah Kohfeldt, 36, berpotensi untuk mengambil alih posisi jurulatih Jerman, Joachim Low, Pizarro menambah: "Ia boleh berlaku tetapi buat masa ini dia masih di Werder lagi.
"Dia masih ada beberapa tahun lagi di sini di mana dia boleh menimba lebih banyak pengalaman. Ini sangat mustahak. Dia akan menentukan apa yang terbaik demi kerjayanya."
Must-Watch Video