Kelibat Cole Palmer untuk kunjungan Chelsea ke Arsenal awal pagi esok diragui sambil Mauricio Pochettino mengesahkan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkemungkinan terlepas perlawanan di Stadium Emirates kerana masalah kesihatan.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak turun berlatih semalam selepas kekalahan separuh akhir Piala FA kepada Manchester City, kelmarin, yang menyaksikan mereka perlu menamatkan kempen ini dalam kelompok tujuh terbaik sekiranya mereka ingin meraih tiket ke pertandingan Eropah pada musim depan.

Pemain antarabangsa England itu merupakan pemain yang menyerlah sepanjang musim bergelora buat Chelsea dengan menghasilkan tujuh gol dalam dua perlawanan terakhir di tempat sendiri, dan secara tidak langsung setaraf penyerang City, Erling Haaland.

Dia sering menjadi faktor penentu apabila mereka bermain dengan baik dengan menambah sengat di jentera serangan buat pasukan kendalian Pochettino itu.

Kemenangan ke atas anak buah Mikel Arteta itu akan meletakkan The Blues menyamai pungutan Newcastle yang menguasai kedudukan keenam, jadi ia mungkin cukup untuk menjamin tiket ke Liga Europa.

Bagaimanapun, mereka berdepan tugas sukar apabila bakal berdepan Arsenal yang mencatatkan 11 kemenangan liga dalam 13 perlawanan terakhir.

Lantas, khidmat Palmer amat ditagih sementara bek sayap, Ben Chilwell dan Malo Gusto juga dalam keraguan.

“Kami perlu menilainya pagi esok,” kata Pochettino mengenai peluang Palmer.






“Hari ini, tidak, saya tidak percaya dia boleh terlibat. Walaupun dia akan pulih esok, dia mungkin tidak berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan.

“Dengannya mahupun tanpa dia, kami percaya kami masih mampu menang.

"Perkara yang paling penting ialah kolektif. Sudah tentu dia adalah bahagian penting dalam pasukan. Dia melakukan yang hebat untuk kami. Tetapi kami mempunyai ramai pemain yang boleh beraksi dan melakukan tugas sepertinya.”