BOLA SEPAK MSIA

Clamovski turun padang pantau sesi latihan KL City

Shaiful Shamsudin 05/03/2025 | 10:23 MYT
Kehadiran sosok asing di padang latihan PKNS, Kelana Jaya, malam tadi mengundang keterujaan dalam kalangan pemain Kuala Lumpur (KL) City.
Lazimnya seseorang ketua jurulatih kebangsaan akan hadir menyaksikan perlawanan kompetitif membabitkan pemain yang berada di bawah radarnya.
Namun, apabila pengendali negara, Peter Clamovski, memilih untuk turun ke sesi latihan pasukan, ia adalah satu pendekatan yang jarang berlaku.
Kelibat Clamovski dalam sesi latihan skuad Warga Kota walaupun sesi latihan bermula lewat pada jam 11 malam.
Justeru, tonggak negara yang juga merupakan ketua pasukan, Paulo Josue, teruja dengan kehadiran Clamovski yang secara jelas membawa maksud situasi beberapa pemain KL City sedang dalam pemantauan.
"Kebiasaannya jurulatih kebangsaan akan hadir memantau (prestasi pemain) menerusi perlawanan.
"Ini satu isyarat yang bagus bahawa dia berminat untuk mengikuti perkembangan pemain termasuk sesi latihan.
"Adalah bagus dia berada di sini. Saya harap rakan sepasukan tidak tertekan, menikmati latihan dan bersedia untuk menghadapi perlawanan," katanya.
Clamovski ramah berkongsi cerita dengan krew Nadi Arena selain mengesahkan beberapa pemain KL City nemiliki kriteria untuk diserapkan dalam skuad revolusi negara.
KL City dalam sesi latihan akhir sebelum ke Alor Setar bagi pertemuan dengan Kedah Darul Aman, Jumaat ini.
Difahamkan tiga pemain tidak dapat beraksi ekoran penggantungan iaitu Kenny Palraj dan Hakimi Azim Rosli manakala pemain import, Adrjan Rudovic, mengalami kecederaan.
"Kenny dan Haqimi sudah mengutip tiga kad kuning maka mereka akan menjalani penggantungan.
"Kami juga akan menilai Rudovic yang mengadu masalah hamstring. Saya mempunyai dua hari lagi untuk buat keputusan sementara pemain-pemain lain sedia diturunkan," kata ketua jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac.
#FAM #Harimau Malaya