Skip to main content

Bola Sepak

Cikgu Wan Rahim janji kembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wan-abdul-rahim-wan-abdullah,_1.jpg
Presiden baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, meminta semua pihak, terutama penyokong setia The Red Warriors (TRW), supaya memberi peluang kepadanya untuk menerajui persatuan itu.

Wan Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Wan Rahim berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan yang semakin suram sekarang.

“Saya baru dua hari memegang jawatan sebagai presiden KAFA. Jangan marah saya lagi. Beri peluang kepada saya untuk terajui KAFA.

"Sekiranya gagal, saya sedia berdepan dengan kritikan daripada penyokong. Jangan 'takir' (kutuk) ambo (saya) sekarang," katanya.

Cikgu Wan Rahim yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, menjelaskan mesyuarat kali pertama ahli majlis KAFA malam tadi juga telah memutuskan beberapa langkah penting yang perlu dilaksanakan segera. 

"Majlis bersetuju untuk melantik Cikgu Hussin Deraman sebagai setiausaha agung dan Datuk Seri Dr Alex Ong sebagai bendahari. Pelantikan jawatan lain akan diputuskan nanti.

“Kami juga akan menubuhkan Majlis Penasihat KAFA yang dipengerusikan Datuk Nasir Hamzah dan akan turut dianggotai bekas pemain dan individu penting sejak 1990-an lagi.

“Majlis penasihat itu bertujuan memberi peluang kepada beberapa pimpinan utama yang dahulu untuk salurkan pengalaman demi kebaikan bola sepak Kelantan.

"Kami juga masih lagi meletakkan sasaran untuk Kelantan kembali semula cemerlang, sebagaimana  KAFA di bawah kendalian Tan Sri Annuar Musa," katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, dan barisan kepimpinan baharu persatuan itu.

Untuk rekod, Cikgu Wan Rahim yang juga  Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan dilantik sebagai presiden KAFA dalam kongres luar biasa (EGM) bagi penggal 2019-2023 apabila berjaya mengalahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, dalam undian pusingan kedua dengan kiraan 28-16, kelmarin.
 

Advertisement

Must Watch Video