Christophe Gamel masih minat berbakti dalam Liga-M
Shaiful Shamsudin
Oktober 3, 2022 19:11 MYT
Oktober 3, 2022 19:11 MYT
Bekas pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel, sedia berbincang dengan mana-mana pengurusan kelab yang mahukan khidmatnya dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Gamel menjelaskan dia menerima beberapa tawaran lebih menarik di negara luar, tetapi fokusnya tetap di Malaysia.
"Memang ada pasukan yang sudah menghubungi tetapi belum ada yang konkrit tentang berbincangan kami.
"Jadi saya masih terbuka dengan mana-mana tawaran," katanya di Nadi Arena.
Seandainya tiada pasukan berminat mendapatkan khidmatnya, maka dia akan kembali ke Perancis dan meneruskan karier kejurulatihan di sana.
Tetapi tegas pengendali berusia 50 tahun itu, dia mampu membuktikan kemampuannya jika diberikan tempoh yang mencukupi.
"Saya bentuk sebuah pasukan yang baik, permainan yang amat menarik tetapi ia melibatkan gabungan banyak faktor untuk membangun.
"Ia bergantung kepada pendekatan kelab, kalau meletakkan barisan muda, maka ia memerlukan masa untuk membina keyakinan," katanya.
Untuk rekod, Gamel dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Tok Gajah pada awal musim 2022 sebelum berpisah atas persetujuan bersama Julai lalu.