BUNDESLIGA
Choupo-Moting pilih kekal semusim lagi di Bayern Munich
Eric Maxim Choupo-Moting menandatangani lanjutan kontrak selama setahun dengan Bayern Munich.
Pemain berusia 33 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang musim ini dengan menyumbat 15 gol dalam 24 perlawanan untuk muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan di samping Jamal Musiala.
"Saya sangat gembira dapat kekal lebih lama dan terus berseronok di kelab ini. Saya berasa sangat selesa di sini," kata pemain antarabangsa Cameroon itu kepada laman sesawang kelab.
Iklan
"Keluarga saya juga berasa selesa di Munich. Itu adalah perkara yang sangat penting buat saya. Saya cukup gembira kerana dapat menawarkan sumbangan besar untuk membantu pasukan. Saya bergaul dengan baik dengan semua pemain, kami bekerja keras demi mencapai matlamat kami.
"Saingan memang sengit tetapi apabila anda mahu menjadi antara yang terbaik, itu adalah sebahagian daripada cabarannya. Ini satu-satunya cara anda mampu memenangi banyak gelaran. Dan kami masih mempunyai rancangan besar.
A good day indeed ✅#MiaSanMia pic.twitter.com/eUDDuaSeKi— FC Bayern Munich (@FCBayernEN) March 3, 2023
"Keseluruhan pakej adalah sempurna di Bayern. Tiada sebab untuk mengubah apa-apa."
Choupo-Moting menyertai Bayern pada Oktober 2020 sebagai ejen bebas selepas tamat kontraknya bersama Paris Saint-Germain.
Pasukan Bavaria itu menduduki tangga teratas Bundesliga bersama Borussia Dortmund dalam perlumbaan sengit merebut gelaran musim ini apabila hanya lima mata memisahkan di antara pendahulu itu dengan kelab di kedudukan kelima, Freiburg.
Must-Watch Video