Skip to main content

Bola Sepak

Chiellini anggap perpindahan Ronaldo ke Juventus mustahil

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cristiano-ronaldo-cropped_87j81h6hdtu31lzfxekouxqh5.jpg
Pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini, menganggap perpindahan Cristiano Ronaldo menyertai juara Serie A itu sebagai sesuatu yang mustahil sebelum bintang itu hadir ke Turin.

Ronaldo menyertai sesi latihan pertama bersama Juve semalam selepas pemenang lima kali Ballon d'Or itu meninggalkan juara Eropah, Real Madrid, menerusi perpindahan bernilai EUR112 juta (RM532 juta), bulan lalu.

Kapten Portugal berusia 33 tahun itu memberi bayangan untuk keluar dari Madrid selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut pada Mei lalu.

Chiellini, yang kini berada di Amerika Syarikat untuk aksi bertemu MLS All-Stars esok, pada mulanya meragui pasukannya akan mendapatkan Ronaldo ketika khabar angin itu mula bertiup kencang.

"Pertama kali mendengar tentangnya, saya memberitahu rakan saya ia sesuatu yang mustahil. Namun, sehari kemudian, saya mula percaya," katanya.

"Berbekalkan pengurus dan pengarah, ia menjadi realiti. Juventus sedang berkembang setiap tahun dan kami memerlukan seorang juara seperti Ronaldo.

"Kami sangat gembira, bersedia untuk bekerjasama dengannya. Seluruh kelab, termasuk pemain-pemain, pengurus pemasaran serta pengarah telah bersedia untuk terus meningkat bersama Ronaldo dan diharapkan kami mampu mencapai sasaran."

Sebelum musim baru bermula, Juventus tampak begitu sibuk mempersiapkan diri dalam usaha meraih kejuaraan Serie A ketujuh berturut-turut.

Joao Cancelo, Mattia Perin dan Emre Can merupakan muka baru sambil Gonzalo Higuain dan pertahanan, Mattia Caldara, antara calon yang bakal meninggalkan Juve dan pasukan bimbingan Massimiliano Allegri itu juga sedang cuba mendapatkan kembali bekas tonggak benteng yang menyertai AC Milan pada musim lalu, Leonardo Bonucci.

"Bonucci adalah rakan saya. Kami melalui percutian yang sama bersama keluarga.

"Saya tahu kualiti yang dia miliki tetapi saya tidak pasti tentang perpindahannya. Saya harus menghormati rakan sepasukan saya. Saya bukan presiden atau pengarah kelab, jadi hanya perlu tunggu."

Advertisement

Must Watch Video