'Mereka sebuah pasukan lengkap', itu pandangan ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, mengenai lawan mereka untuk aksi ke-10 Liga Super, Sabah.

Cheng Hoe turut menjangkakan aksi sukar menanti pasukannya memandangkan Sang Badak belum lagi tewas di Likas musim ini.

Selangor perlu waspada dengan cabaran yang bakal ditampilkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di samping perlu mengelak melakukan sebarang kesilapan mudah yang akan dihukum pihak lawan.

Bagi pengendali 54 tahun itu, Sabah memiliki ramai pemain berpengalaman yang wajar diberikan perhatian antaranya penjaring terbanyak pasukan Park Tae-su, Baddrol Bakhtiar serta Saddil Ramdani.

Jelas Cheng Hoe, Selangor perlu kekal konsisten dan tidak boleh keciciran mata jika berhasrat untuk terus bersaing di kelompok atasan liga.

Untuk rekod, selepas sembilan perlawanan, Selangor kini menghuni kedudukan kedua liga dengan 22 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Khairul Fahmi Che Mat serta barisan pertahanan Sabah cukup berkualiti bagi pasukan Sabah. Mereka mampu menghadirkan ancaman daripada jentera serangan yang diketuai oleh Darren Lok," kata Cheng Hoe.

"Corak permainan cemerlang serta persefahaman yang tinggi Sabah menjadikan mereka lawan yang cukup bahaya.

"Namun Selangor tetap akan menghadirkan permainan terbaik beraksi dalam perlawanan esok."