Chelsea telah melengkapkan pembelian Pedro Neto dari Wolves, dengan The Blues mengeluarkan €60 juta (RM290j) serta bayaran tambahan untuk pemain antarabangsa Portugal itu.

The Blues sekali lagi sibuk dalam pasaran perpindahan ketika mereka menghampiri musim pertama mereka di bawah asuhan Enzo Maresca, dengan Neto menjadi pemain senior kesembilan mereka menjelang 2024-25.

Pemain sayap itu menghabiskan lima musim di Wolves selepas tiba dari Braga pada 2019 dan 2023-24 yang merupakan kempen paling produktifnya yang menyaksikannya menjaringkan sembilan bantuan gol dalam 20 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).





Bagaimanapun, dua kecederaan hamstring mengehadkannya kepada hanya 1,518 minit dalam pertandingan penggal lalu, dan terlepas 20 penampilan liga dalam semusim sejak 2020-21.

Neto berharap dapat mengekalkan kecergasan dalam kempen ini demi membantu Chelsea mencapai tiket Liga Juara-Juara setelah menduduki tempat keenam yang mengecewakan di bawah Mauricio Pochettino musim lalu.

Ketibaan Neto disahkan dalam separuh masa semasa perlawanan persahabatan pramusim terakhir membabitkan kelab London itu menentang Inter awal pagi tadi.




Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak tujuh tahun dan memberitahu laman sesawang kelab: "Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat menyertai kelab ini.

"Saya telah bekerja keras sepanjang karier untuk berada di sini dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk memasuki padang dengan menyarung jersi ini."