Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, memberitahu pemberita bahawa dia tidak tertarik dengan peluang Liverpool memburu empat kejuaraan musim ini, sebaliknya memuji prestasi Timo Werner selepas The Blues menang 2-0 ke atas Crystal Palace dalam Piala FA Inggeris, kelmarin.

The Blues mengunci Crystal Palace sepenuhnya dengan penguasaan 67 peratus tetapi terpaksa menunggu hingga minit ke-65 untuk memecah kebuntuan menerusi Ruben Loftus-Cheek sebelum Mason Mount menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-76.

Dengan kemenangan itu, mereka menempah pertemuan final Piala FA dengan The Reds di Wembley pada 14 Mei depan.

Ia musim ketiga berturut-turut kelab London itu mara ke final selepas tumpas 1-2 kepada Arsenal pada 2020, kemudian dikecewakan Leicester City 0-1 pada 2021.

Liverpool juga masih meneruskan cabaran dalam perebutan mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjulang Piala Carabao, Februari lalu.

Apapun, Tuchel tidak berminat untuk membincangkan potensi seteru mereka itu dalam meniti sejarah.

"Saya tidak peduli dengan pencabar lain (Liverpool)," katanya.




"Benar, kami kalah dalam perlawanan akhir (kepada Liverpool dalam Piala Carabao). Kami telah mencurahkan segala-galanya dalam perlawanan akhir itu, seperti yang anda tahu hingga penalti terakhir.

"Kami tidak bernasib baik dan tewas. Kalau boleh kami mahu mengubah keputusan tetapi ia tidak akan mengembalikan gelaran Piala Carabao itu ke pangkuan kami.

“Kami berada dalam final Piala FA musim lalu dan kami di sini lagi, ia amat bermakna buat kami.

"Kami akan bersedia dengan sebaik mungkin bagi menentang salah sebuah pasukan terkuat di dunia yang kini berada dalam prestasi hebat atas keputusan yang dirakam mereka.

"Ia akan menjadi sukar tetapi kami akan cuba menyukarkan hidup mereka."