Cedera ACL, Selangor hilang khidmat Noor Al-Rawabdeh

Muzaffar Musa
Oktober 22, 2024 10:46 MYT
Selangor berdepan tamparan besar menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Jeonbuk di Petaling Jaya malam esok apabila tonggak tengahnya, Noor Al-Rawabdeh, terpaksa berehat panjang.
Bintang Jordan berusia 27 tahun itu, dalam satu perkongsian Intagram Story, memaklumkan bahawa dia mengalami kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL).
"Hasil pemeriksaan mendapati saya didiagnosis dengan kecederaan ACL. Kami hanya mengatakan apa yang diredhai Allah, maka segala puji bagi Allah untuk segala-galanya," tulisnya.
Al-Rawabdeh merekodkan 43 penampilan, tujuh gol dan lima bantuan jaringan dalam semua pertandingan buat Gergasi Merah, termasuk dalam saingan ACL2.
Ketiadaannya pasti akan merumitkan perancangan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, khususnya dalam dua perlawanan penting berturut-turut, menentang Jeonbuk dalam ACL2 malam esok dan aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) hujung minggu ini.
#bola sepak #Liga Juara-Juara Asia #Selangor FC #ACL2 #Noor Al-Rawabdeh
;