BOLA SEPAK
Capello umum persaraan daripada bidang kejurulatihan
Bekas pengendali AC Milan, Real Madrid dan England, Fabio Capello, mengumumkan persaraannya daripada bidang pengurusan, sekali gus melenyapkan spekulasi dia bakal mengurus skuad kebangsaan Itali.
Pengurus berusia 71 tahun itu ditamatkan kontraknya oleh kelab Liga Super China, Jiangsu Suning, bulan lalu, dan situasi itu menjadi penampilan terakhirnya bergelar pengurus selepas lebih 30 tahun berkhidmat.
Capello memenangi gelaran Serie A bersama Milan dan Roma serta menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara Eropah buat Rossoneri pada 1994.
Iklan
Dia juga menjulang trofi LaLiga dalam kedua-dua tempohnya di Santiago Bernabeu buat Real Madrid (1996 dan 2006), sebelum diingati penyokong England akibat prestasi buruk skuad The Three Lions dalam Piala Dunia 2010.
Tatkala Itali kini mencari pengganti tetap untuk Gian Piero Ventura yang gagal melayakkan Azzurri ke Piala Dunia 2018, Capello menolak sebarang kemungkinan untuk kembali memegang jawatan pengurus.
"Saya telah pun menolak (jawatan pengurus Itali)," kata Capello kepada Radio Rai.
"Saya sudah melalui pengalaman bersama skuad kebangsaan England dan Russia, kemudian mahu mencuba bidang pengurusan kelab sekali lagi dan Jiangsu adalah destinasi terakhir saya.
"Saya melakukan apa yang saya mahu dan gembira dengannya. Kini, saya lega bergelar pengulas televisyen kerana pekerjaan ini sentiasa memberikan anda kemenangan!"
Must-Watch Video