Cancelo, City terlerai kasih

Asmawi Bakiri
Januari 31, 2023 09:22 MYT
Salah satu syarat utama untuk menjadi sebuah pasukan berjaya adalah tiada pemain yang seharusnya lebih berkuasa daripada pengurusnya.
Ia merupakan satu prinsip utama dalam skuad Manchester United pimpinan Sir Alex Ferguson pada masa lalu.
Kini, ia mula dipraktikkan semula oleh pewarisnya ketika ini, Erik Ten Hag, yang tidak ragu-ragu untuk menjual Cristiano Ronaldo apabila pemain itu melampaui batas, dan kini turut dapat dilihat diamalkan oleh pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Di saat jendela perpindahan hampir melabuhkan tirainya, City mengumumkan bahawa salah seorang pemain bintang mereka, Joao Cancelo, bakal dipinjamkan kepada Bayern Munich dengan harga £61.5 juta (RM322 juta) berserta pilihan untuk membeli pemain itu secara kekal dalam jendela perpindahan akan datang.
Jika pengumuman ini dilakukan sebelum Piala Dunia, pasti kesemua pihak akan terfikir yang Guardiola sudah hilang akal.
Bermula dari awal musim ini, Cancelo yang mampu beraksi di bahagian bek kiri dan kanan merupakan salah satu jentera kreatif utama buat City dan bertanggungjawab untuk memulakan pelbagai rentetan serangan buat pasukan.
Hantaran yang tajam, visi yang menakjubkan serta kukuh dalam pertahanan juga, Cancelo sering dinobatkan sebagai calon pemain terbaik dalam pelbagai perlawanan dan merupakan satu elemen yang tidak boleh kurang dalam permainan City.
Malang sekali, persembahannya mula merudum dengan teruk beberapa minggu sebelum Piala Dunia, di mana dia memboloskan sepakan penalti dan dilayangkan kad merah dalam pertemuan dengan Fulham.
Setelah pulangnya dari Piala Dunia, persembahannya tidak dilihat kembali ke tahap optimum manakala kehadiran Nathan Ake di bahagian bek kiri dan Rico Williams di bahagian bek kanan mula membataskan peluang Cancelo untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Menerusi sumber akhbar pelbagai media, Guardiola pernah dipetik sebagai berkata: "Peningkatan prestasi Ake menggembirakan semua pihak dalam pasukan kami, kecuali seorang."z
Pada waktu itu, ia tidak jelas siapakah yang dimaksudkan oleh Guardiola tetapi kini ia semestinya adalah Cancelo.
Menurut laporan Daily Mail, Cancelo menunjukkan reaksi negatif setiap kali tidak dipilih dalam kesebelasan utama, antaranya enggan memanaskan badan bersama pemain lain, enggan bersorak sewaktu pasukan menjaringkan gol dan menjadi sumber tidak harmoni di dalam bilik persalinan.
Kemuncaknya dilaporkan berlaku sewaktu Cancelo mengamuk apabila diumumkan sekali lagi tidak tersenarai dalam kesebelasan utama ketika menentang Arsenal dalam perlawanan Piala FA.
Tawaran daripada Bayern ini dilaporkan adalah hasil daripada pencarian Cancelo sendiri, maka City dan Guardiola tidak ragu-ragu untuk bersetuju.
Meskipun bakal kehilangan seorang lagi pemain bek selepas perpindahan Oleksandr Zinchenko ke pangkuan Arsenal pada awal musim ini, City seharusnya mempunyai pemain yang mencukupi sebagai ganti buat sementara.
Seperti yang disebutkan dari awal, pemain-pemain muda pasukan semestinya menghargai peluang yang terbuka dengan keberangkatan Cancelo ini.
#bola sepak #Manchester City #Liga Perdana Inggeris #Rencana #Joao Cancelo
;