Skip to main content

Bola Sepak

Cafu: Neymar gagal tampil aksi sebenar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

neymar.jpg
Pemenang Piala Dunia, Cafu, menganggap prestasi Neymar kurang memuaskan di Russia tetapi melihat penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu sebagai pemain terbaik negara sejak 10 tahun yang lalu.

Selepas kembali pulih daripada kecederaan metatarsal untuk beraksi bersama Brazil di Russia, Neymar menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan sebelum mereka disingkirkan oleh Belgium dalam suku akhir tetapi dia kerap kali dikritik oleh media kerana bertindak balas secara berlebih-lebihan selepas diterjah pemain lawan.

Cafu, yang merupakan pemain paling banyak beraksi untuk Brazil sebanyak 142 kali, mengakui Neymar gagal menampilkan aksi cemerlang dan menjadi bintang kejohanan tetapi yakin pemain berusia 26 tahun itu akan bangkit daripada kekecewaan itu.

"Kami meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemain terbaik pasukan," kata Cafu. "Neymar adalah harapan negara dan dia mampu mengubah keputusan perlawanan.

"Brazil sangat beruntung kerana memiliki Neymar. Dia merupakan pemain terbaik Brazil  sejak 10 tahun yang lalu," ujarnya.

Berdasarkan penilaiannya terhadap persembahan Brazil dalam Piala Dunia, Cafu lebih tertumpu ke arah jurulatih pasukan, Tite, serta penyerang, Gabriel Jesus.

Beliau menyifatkan prestasi Brazil ketika tewas 2-1 kepada Belgium sebagai "kesilapan" yang dilakukan oleh Tite di samping mempersoalkan kesukaran Jesus menghasilkan jaringan.

"Tite telah melakukan percaturan yang salah hingga menghukum pasukan dan tersingkir dalam suku akhir.

"Tetapi jika Tite meneruskan khidmatnya bersama Brazil, kami akan tetap memberikan sokongan kepada beliau.

"Tugas penyerang adalah menjaringkan gol. Secara taktikal, Jesus telah memainkan peranan yang sangat baik buat Brazil. Malangnya, dia dikritik kerana gagal menjaringkan gol di Russia."
 

Advertisement

Must Watch Video