AUGSBURG 1 DORTMUND 5

Kejayaan Borussia Dortmund menumpaskan Augsburg 5-1 dalam pertemuan Bundesliga awal pagi tadi menjadi aksi pemanas badan terbaik menjelang perlawanan timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Paris Saint-Germain (PSG), minggu depan.


Dortmund -- yang akan menentang PSG awal pagi Rabu depan berbekalkan kemenangan 1-0 perlawanan pertama di Jerman awal minggu ini -- menikmati permulaan yang hebat dengan mencipta tiga gol dalam tempoh 29 minit pertama permainan.

Youssoufa Moukoko meledak dua gol sebelum Doneyll Malen mengukuhkan kedudukan dengan pantas.

Augsburg mengurangkan defisit pada minit ke-32 menerusi Ruben Vargas tetapi pelawat memulihkan kelebihan tiga gol menerusi Marco Reus (minit ke-34) yang akan meninggalkan kelab di penghujung musim ini selepas 12 tahun bersama.



Dia kemudian mencipta bantuan gol ntuk Felix Nmecha bagi menjadikan kedudukan 5-1 pada minit ke-64.

Justeru, Reus, 34 tahun dan 339 hari, muncul pemain tertua yang terlibat secara langsung dalam tiga gol atau lebih dalam perlawanan Bundesliga sejak pemain Bayern Munich, Franck Ribery, melakukannya ke atas Wolfsburg pada Mac 2019.

Dortmund yang telah memperoleh tempat UCL musim depan menghuni tangga kelima dengan 60 mata, tiga di belakang pasukan di tangga keempat, RB Leipzig.