Individu yang diberkas di sekitar Bandar Baru Bangi berkaitan kes simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim direman lima hari bagi siasatan lanjut berhubung kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan sebelum itu dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi tujuan permohonan reman.
"Suspek berumur lingkungan 30 an itu direman lima hari untuk siasatan selanjutnya.
"Kes ini akan diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Selasa.
Pada Isnin, polis memaklumkan suspek diberkas lewat petang di sekitar kawasan Bandar Baru Bangi.
Suspek merupakan tangkapan kedua dijalankan setelah tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki yang diberkas di Pandan Indah, Ampang pada Ahad.
Difahamkan, dalam kejadian pada Ahad, pemain Selangor FC itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.
Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.-Sinar
Stadium Astro
Tue May 07 2024