LIGA SUPER MSIA
Bukan obligasi DBKL untuk salur peruntukan buat KL City, KLFA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menegaskan bahawa tiada sebarang kewajipan bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyalurkan kewangan kepada Kuala Lumpur City (KL City) dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, tiada sebarang ikatan perjanjian secara formal diadakan untuk membantu skuad The City Boys melunaskan pembayaran gaji malah,sebahagian besar pendapatan DBKL merupakan hasil cukai yang dibayar oleh rakyat tempatan dan perlu digunakan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk kota.
Sebelum ini, tular di media sosial di mana ketua pasukan, Paulo Josue, mendedahkan hampir tujuh bulan tidak menerima pembayaran meskipun perlawanan sudah memasuki aksi minggu kelima.
Iklan
"Penjelasan ini adalah merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Saudara Khalid Samad yang memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKL, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang obligasi untuk DBKL menyalurkan apa-apa bentuk peruntukan kepada KLFA dan KL City FC, walaupun ianya merupakan amalan kebiasaan sebelum ini. KLFA dan KL City FC adalah merupakan badan yang berdiri dengan sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL dan beroperasi secara bebas.
Perlu diingatkan bahawa hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan bahawa wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota.
Walaubagaimanapun, DBKL sentiasa bersedia membantu dan saya benar-benar menghargai usaha-usaha KLFA dan KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur. Saya turut berbangga dengan pencapaian yang ditonjolkan selama ini serta melihat potensi besar dan masa depan yang cemerlang bagi pasukan KL City FC." katanya dalam kenyataan media.
Must-Watch Video