Skip to main content

Bola Sepak

Brunei DPMM ikat perjanjian tiga musim dalam kancah Liga-M

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dpmm.jpg
Pasukan Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) kini bersedia merancakkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) selama tiga musim penyertaan bermula musim 2025/26.

Pengurus Besar DPMM FC, En. Md Ali Haji Momin Bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, En. Mohd Shazli Shaik Mohd, menandatangani perjanjian penyertaan itu sebagai tanda simbolik yang berlangsung di Johor Bahru, hari ini.

Perjanjian ini menyaksikan DPMM sah akan bertanding dalam kempen Liga Super bermula musim 2025/26, selepas kali terakhir menyertai Liga Super pada tahun 2008.

Malaysia dan Brunei memiliki sejarah tersendiri dalam arena bola sepak apabila Brunei pernah menyertai pertandingan Piala Malaysia pada 1979 buat kali pertama dan kemudian Liga Semi-Pro pada 1989.





Untuk rekod, Brunei pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kemudian DPMM menyertai saingan Liga Super dengan pencapaian terbaik menduduki tangga ketiga liga pada 2005-2006.

Kerjasama yang dimeterai merupakan sebahagian daripada inisiatif MFL untuk memperkukuhkan nilai kompetitif liga, sekali gus meraikan kerjasama dua hala dalam pembangunan bola sepak serantau serta mengukuhkan perpaduan bola sepak ASEAN. 

"Kami di MFL amat berbesar hati dan mengalu-alukan penyertaan rasmi DPMM FC ke dalam Liga Malaysia bagi musim 2025-2026. 

"Ini bukan sahaja menandakan kemasukan semula sebuah kelab yang memiliki ikatan sejarah cukup kuat dengan Malaysia malah memberi makna baharu kepada semangat persaingan dan hubungan serantau antara Malaysia dan Brunei. 

"Kami percaya ini juga adalah sebahagian daripada agenda strategik MFL dalam memperkukuhkan nilai kompetitif Liga Super dan membuka ruang kepada kerjasama dua hala yang lebih luas di rantau ini. 

"Dengan reputasi, pengalaman dan profesionalisme yang dimiliki oleh DPMM FC, dapat menyuntik dimensi baharu kepada landskap bola sepak tempatan dan memberikan impak positif kepada jenama Liga Super." kata Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Dalam pada itu, pengurus besar pasukan dari Brunei itu teruja dapat kembali bersaing dalam saingan Liga M selain komited inisiatif itu bagi meningkatkan kualiti para pemainnya.

"Kami di pihak DPMM FC pastinya gembira kerana dapat kembali bersaing dalam kancah Liga Malaysia yang memiliki jenama cukup besar di rantau ini. 

"Kami sedar dengan kualiti yang ada pada setiap kelab Liga Super yang pastinya memberikan cabaran hebat buat kelab DPMM FC. Ini lah yang kami mahukan dan kami berharap dengan kehadiran DPMM FC dapat turut sama memeriahkan lagi saingan di Liga Super.

"Liga Malaysia memang dekat dengan penyokong-penyokong di Brunei, saya percaya mereka juga tidak sabar dengan penyertaan DPMM FC pada musim baharu ini. 

"Apa yang kami harapkan, cabaran ini akan dapat meningkatkan kualiti pemain kami selain mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara." ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video