Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi, percaya anak buahnya masih mampu merebut tempat ke persaingan Eropah untuk musim kedua berturut-turut.

The Seagulls berada di tempat ke-10 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tujuh perlawanan bersisa.

Prestasi semasa barisannya tidak baik berikutan hanya mencetak satu kemenangan daripada enam perlawanan liga terakhir, apa pun De Zerbi tetap optimis.

Menjelang lawatan ke Burnley malam ini, pengurus berbangsa Itali itu berkata: “Sukar untuk memahami berapa banyak mata yang kami perlukan tetapi kami perlu memikirkan setiap perlawanan.

“Saya rasa kami mempunyai peluang untuk ke Eropah. Ia sukar kerana terdapat banyak pasukan handalan dan sangat bagus tetapi kami masih mempunyai peluang.



"Dan kami perlu memiliki kepercayaan ini dan kami harus menang.

“Saya mahu beraksi lagi di Eropah pada musim depan. Saya fikir musim ini kami terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk menimba pengalaman pertama dalam Liga Europa, tetapi kempen kedua pasti akan menjadi lebih mudah.”