Skip to main content

Bola Sepak

Brendan jaring gol penampilan pertama, Caion hatrik ketika Selangor belasah Sarawak United

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

brendan-gan-selangor.jpg
SELANGOR 7 SARAWAK UNITED 0

Kapten Selangor, Brendan Gan, menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya selepas setahun tidak beraksi kerana menghidap kanser.

Pemain kelahiran Australia itu menjaringkan gol pembukaan ketika Gergasi Merah membelasah Sarawak United 7-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.

Lebih manis, calon penjaring terbanyak, Herlison Caion, turut menjaringkan hatrik untuk kini menyamai penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam senarai teratas dengan sembilan gol.

Brendan, yang turut menjalani dua pembedahan lutut sebelum ini, membuka jaringan buat tuan rumah menerusi rembatan voli gemilangnya seawal minit ketujuh.

Kepulangan kapten itu jelas memberikan semnagat luar biasa buat skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner berkenaan, yang mendahului 2-0 pada minit ke-23 selepas Hyuri Henrique menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Mukhairi Ajmal Mahadi.

Selangor bertambah selesa pada penghujung babak pertama apabila Brendan memintas bola yang cuba dikeluarkan pertahanan lawan sebelum melorongkannya buat Hein Htet Aung, yang melakukan lintangan rendah untuk ditolak masuk Caion.

Aksi separuh masa berikutnya jelas memberikan igauan lebih buruk buat Sarawak United dan gawang mereka sekali lagi dibolosi selepas enam minit perlawanan bersambung, kali ini menerusi sentuhan Nor Hakim Hassan, yang melepasi perangkap ofsaid sebelum menghukum tindakan Sharbinee Allawee Ramli keluar terlalu awal dari kawasannya.

Caion menjaringkan gol berganda, masing-masing pada ke-74 dan 88, untuk melengkapkan hatriknya sebelum Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau melengkapkan malam penuh gemilang buat Selangor dengan gol ketujuh menerusi gerakan 'set-piece' pada penghujung permainan.

Dengan kemenangan itu, Selangor melonjak ke tangga keenam liga dengan 11 mata dan berkelebihan empat perlawanan dalam tangan.
 
 

Advertisement

Must Watch Video