LALIGA
Bos Levante tertawa dengan 'krisis' di Real Madrid
Jurulatih Levante, Juan Muniz, tertawa dengan tahap "krisis" di Real Madrid sebelum pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu dalam LaLiga.
Skuad Zinedine Zidane itu berada 19 mata di belakang peneraju liga, Barcelona, walaupun mereka kurang bermain satu perlawanan, menuju ke pertempuran di Ciutat de Valencia, Ahad ini.
Kejutan disingkirkan daripada Copa del Rey di peringkat suku akhir di tangan Leganes memaksa Zidane mengakui masa depannya bergantung kepada hasil pertembungan dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara, 15 Februari ini.
Iklan
Muniz berpendapat ia berguna untuk bermain menentang pasukan terbesar ketika mereka mempunyai komitmen Eropah tetapi dia menegaskan masalah di Santiago Bernabeu adalah isu yang menjadi impian kepada kebanyakan jurulatih.
"Memang benar bagus untuk menghadapi pasukan besar ketika mereka perlu bermain dalam Liga Juara-Juara tetapi krisis pasukan besar adalah yang digemari pasukan kecil," katanya dalam sidang akhbar.
"Dengan (Cristiano) Ronaldo, (Gareth) Bale, (Karim) Benzema atau Isco, krisis adalah berbeza. Tewas perlawanan adalah krisis bagi Madrid. Mereka adalah salah sebuah pasukan terbaik di dunia; krisis adalah relatif.
"Apabila jentera berfungsi dengan baik, mereka ke Mestalla dan menang 4-1," katanya.
Madrid menunjukkan peningkatan dalam dua perlawanan liga terakhir mereka, dengan kemenangan 4-1 ke atas Valencia sebelum menewaskan Deportivo La Coruna 7-1.
Muniz, yang pasukannya hanya dua mata di atas skuad tiga terbawah, sedar mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan jika mahu mendapat keputusan.
"Madrid berada di tangga ketiga atau keempat dalam LaLiga dan Liga Juara-juara. Kami perlu mempunyai perlawanan yang sempurna pada Ahad ini dan tidak membuat sebarang kesilapan," katanya.
Must-Watch Video