BOLA SEPAK MSIA
Bola Sepak Universiti Asia: 15 percubaan Malaysia gagal tembusi gawang Oman
MALAYSIA 0 OMAN 1
Hujan lebat dalam separuh masa pertama gagal menghadirkan nasib sempurna buat skuad negara dalam perlawanan Kumpulan A, Kejohanan Bola Sepak Universiti Asia bertemu Oman, petang tadi.
Hujan lebat membasahi Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula pada awal babak lagi bagaikan menjurus kepada kelebihan pasukan negara yang sudah terbiasa dengan cuaca hujan berbanding Oman.
Namun, sebaliknya berlaku sejak sepak mula apabila perlawanan didominasi Oman malah jaringan pembukaan tenang dihasilkan Ahmad Ibrahim Ahmed Al Busaidi pada minit ke-32.
Memasuki babak kedua, Malaysia memiliki lebih 15 kali percubaan untuk mencari penyamaan tetapi malangnya ia bukan hari yang baik untuk skuad kendalian Ridzuan Abu Shah itu.
Tekanan sebagai pasukan tuan rumah dan terlalu menghormati pihak lawan antara punca utama tiga mata penuh bukan milik Malaysia.
"Kami tidak ikut taktikal yang diterapkan disebabkan hujan lebat, kami juga tidak begitu menghormati Oman.
"Dan selepas rehat, pemain negara barulah lebih berani untuk memberi tekanan dan mengasak lawan.
"Kami melancarkan 15 serangan tetapi hanya beberapa yang menuju ke sasaran jadi ia merencatkan kami mencari jaringan penyamaan," kata jurulatih Malaysia, Ridzuan Abushah, di Nadi Arena sebentar tadi.
Menurut jurulatih Oman, Mohammed Almayyahi Khalifan Saleem: "Ia aksi yang cukup mendebarkan tetapi saya bersyukur Oman memulakan langkah dengan baik dalam perlawanan pertama.
"Sudah pasti ini motivasi yang cukup bagus untuk kami bertemu Korea Selatan esok."