BOLA SEPAK
Bola Sepak - FAM gantung Yazan Al-Arab seumur hidup
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan pada Isnin, menggantung pemain import Selangor FC, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia. Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Hukuman ini berdasarkan kepada tindakan pemain itu ke atas pengadil perlawanan ketika saingan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.
Selangor FC yang dikenakan tiga pertuduhan daripada perlawanan yang sama didenda RM10,000 untuk pertuduhan 1 dan ke3 dan RM3,000 untuk pertuduhan kedua serta diberi amaran keras. Keputusan ini tidak boleh dirayu.
Iklan
Empat pegawai pasukan Selangor FC dikenakan penggantungan lima perlawanan serta denda RM10,000.
Manakala seorang lagi pegawai ini didenda RM10,000 dan digantung daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya termasuk di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, komuniti dan sosial di Malaysia selama 2 tahun yang berkuat kuasa mulai 20 November 2023 sehingga 19 November 2025.
Selain itu, Jawatankuasa ini turut mengenakan denda keseluruhan RM30,000 serta amaran keras kepada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim membabitkan perlawanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023, Johor Darul Ta’zim lwn Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 27 Mei 2023 serta Final Piala FA 2023, Johor Darul Ta’zim lwn Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai 2023.
Must-Watch Video