Bintang Roma, Zaniolo, cedera ACL
Penulis Jemputan
Januari 13, 2020 12:20 MYT
Januari 13, 2020 12:20 MYT
Nicolo Zaniolo akan terlepas kempen kelayakan Euro 2020 bersama Itali selepas AS Roma mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sewaktu tewas 1-2 kepada Juventus dalam perlawanan Serie A di Stadium Olimpik awal pagi tadi.
Ketua jurulatih skuad Azzurri itu, Roberto Mancini, berada di tempat duduk penonton ketika Zaniolo dikeluarkan pada minit ke-36 kerana kesakitan gara-gara diterjah pertahanan Juve, Matthijs de Ligt.
Pemain tengah itu melakukan larian bijak dari kawasan penaltinya untuk menewaskan empat pemain Juve sebelum De Ligt -- yang dimasukkan sebagai pemain gantian bagi menggantikan Merih Demiral yang cedera -- tampil untuk menjatuhkannya dengan rempuhan badan sehingga dilayangkan kad kuning.
Selepas perlawanan itu, Roma menerusi satu ciapan Twitter mengesahkan bahawa Zaniolo akan menjalani pembedahan.
"Susulan kecederaan yang dialami malam ini, Nicolo Zaniolo menjalani pemeriksaan perubatan dan disahkan mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya dengan beberapa kerosakan meniskus.
"Zaniolo akan menjalani pembedahan esok," kata kenyataan itu.
Pemain berusia 20 tahun itu melakukan penampilan pertamanya bersama Itali, Mac lalu dan membuka akaun dengan jaringan berganda ketika menewaskan Armenia 9-1 dua bulan lalu.
Zaniolo menjaringkan empat gol dalam 18 penampilan Serie A musim ini selain dua jaringan dalam Liga Europa.
Editor: Muzaffar Musa