Liverpool baru sahaja menang mudah ke atas Union Saint-Gilloise dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi, tetapi luka dianiaya sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) sewaktu menentang Tottenham Hotspur hujung minggu lalu pastinya masih berbekas.
Kebiasaannya berita mingguan dalam dunia bola sepak dipenuhi aspek krisis pasukan, apatah lagi dengan Manchester United masih berterusan kalah, tetapi kontroversi VAR ini merupakan topik paling hangat dibicarakan sejak perlawanan itu.
Seperti diketahui ramai, Liverpool menyaksikan gol pendahuluan mereka hasil jaringan Luis Diaz dibatalkan akibat ofsaid sedangkan rakaman ulang tayang cukup jelas menunjukkan perkara sebaliknya terjadi.
Setelah menerima kecaman hebat, Lembaga Pegawai Perlawanan Permainan Profesional (PGMOL) akhirnya menyiarkan rakaman perbualan di antara pengadil, pembantu pengadil, pegawai pengendali VAR dan pengendali siaran ulang tayang sewaktu kesilapan itu berlaku.
Berikut adalah bahagian penting dalam transkrip perbualan itu sejurus selepas gol Diaz dibatalkan:
VAR: Diaz berkemungkinan ofsaid.
Pembantu Pengadil 2: Tolong periksa.
VAR: Pemeriksaan ofsaid dijalankan.
Perbualan diteruskan di antara pegawai VAR dan pengendali siaran ulang tayang dalam memaparkan keadaan sebelum gol dijaringkan.
VAR: Berhenti. Pemeriksaan selesai. Keputusan yang sempurna.
Di sini pengendali VAR bersetuju dengan keputusan pengadil yang membatalkan gol akibat ofsaid.
Pengadil: Terima kasih kawan-kawan.
Pengendali siaran ulang tayang: Tunggu, tunggu. Keputusan pengadil adalah ofsaid. Adakah kamu pasti dengan keputusan ini?
Pembantu VAR: Ofsaid, gol, ya. Oh, silap.
VAR: Apa?
Pengendali siaran ulang tayang: Keputusan pengadil di atas padang adalah ofsaid. Kamu setuju ke? Ulang tayang menunjukkan Diaz tidak ofsaid.
VAR: Oh tidak! Kami silap!
Pengendali siaran ulang tayang: Boleh kita hentikan perlawanan sebentar?
VAR: Mereka sudah memulakan semula perlawanan. Kita tak boleh buat apa-apa
Memalukan sekali.
Dalam perbualan itu, jelas bahawa pengendali siaran ulang tayang adalah satu-satunya individu yang sedar akan apa yang berlaku, sedangkan dua pengadil profesional yang mengendalikan sistem VAR terpinga-pinga dan keliru dengan keputusan sendiri.
“Ofsaid, gol,” ujar pembantu VAR. Ofsaid ataupun gol sebenarnya?
Jika penonton pun keliru dengan kenyataan ini, apatah lagi pengadil di atas padang?
Menurut peraturan 10 yang dikeluarkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), jika perlawanan telah dihentikan dan kemudian dimulakan semula, pengadil tidak boleh kembali merujuk keputusan VAR kecuali apabila melibatkan kesalahan memberikan kad merah terhadap pemain yang salah.
Dipendekkan cerita, akibat kecemerkapan pengadil yang mengendalikan VAR, Liverpool menjadi mangsa dan akhirnya kalah akibat gol minit terakhir.
Analisis dan kritikan dari pelbagai sumber sepanjang minggu lalu membangkitkan dua perkara penting – adakah VAR wajib dikendalikan oleh pengadil profesional dan perlukah bahasa teknikal yang kurang jelas maksudnya digunakan?
Jika dilihat pada audio rasmi yang disiarkan dalam Bahasa Inggeris, intipati yang ingin disampaikan sama sekali tidak jelas.
Sebagai contoh, dalam memberikan keputusan akhir, pengendali VAR mengucapkan ayat “Check complete. Perfect.”
Kita tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘perfect’ dalam ayat ini.
Adakah ia menjadi satu kesalahan jika ‘Goal’ atau ‘No goal’ digunakan?
Bagaimana pula jika pakar penganalisis VAR dilatih bagi mengendalikan sistem itu?
Individu-individu ini tidak wajib mempunyai pengalaman sebagai pengadil perlawanan tetapi dilatih khas bagi mengendalikan sistem tersebut semata-mata, adakah ia boleh mengurangkan kadar keputusan yang salah?
Sistem VAR diperkenalkan bagi menyingkirkan segala kesilapan yang menghantui keputusan pengadil sejak lebih sedekad lalu, tetapi apabila sistem ini digagalkan oleh mereka yang tidak tahu apa yang patut dilakukan, tidak ada gunanya secanggih mana pun sesuatu sistem.
Kesilapan manusia tidak boleh dielakkan, itu hakikat. Tetapi wajarlah ia dielakkan berlaku dengan lebih kerap lagi pada masa akan datang, sebelum ada suara-suara sumbang yang menggesa agar sistem VAR ini dihentikan sepenuhnya.