Bierhoff: Low akan kekal sebagai jurulatih Jerman
Penulis Jemputan
Jun 28, 2018 08:21 MYT
Jun 28, 2018 08:21 MYT
Pengurus besar skuad Jerman, Oliver Bierhoff, berharap Joachim Low akan kekal sebagai ketua jurulatih walaupun tersingkir daripada saingan Piala Dunia.
Kempen Jerman untuk mempertahankan gelaran terhenti di Kazan semalam, dengan Korea Selatan merakamkan kemenangan 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan F itu.
Kekalahan itu, yang digabungkan dengan kemenangan 3-0 Sweden ke atas Mexico, menyaksikan mereka tersingkir dalam pusingan pertama buat julung kali sejak 1938 tetapi Bierhoff tidak meragui Low akan kekal bersama pasukan selepas menandatangani kontrak empat tahun pada Mei lalu.
"Setiap orang sangat kecewa di atas penyingkiran ini," kata Bierhoff.
"Low telah menandatangani kontrak baru pada Mei. Sekarang bukan masa untuk menilai secara individu. Saya yakin Low akan kekal bersama Jerman.
"Segala-galanya tidak cukup bagi Jerman, kami perlu menerima keputusan ini.
"Ia tidak sepatutnya berlaku seperti ini, berakhir dengan terlalu cepat. Anda dapat melihat bahawa pasukan lain turut bergelut dalam saingan ini. Kami memiliki banyak peluang dalam kejohanan ini."