Ceritanya harus menepati satu kisah dongeng apabila jurulatih berusia 75 tahun, Roy Hodgson, keluar daripada persaraan untuk membantu Crystal Palace mengekalkan tempatnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Baru berkira-kira melepasi tiga minggu selepas pelantikannya, tugas yang sebelumnya dianggap berat itu sudah hampir selesai.

Rentetan kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan sejak Hodgson mengambil alih daripada Patrick Vieira yang dipecat, skuad The Eagles itu telah melonjak ke tangga ke-12 dengan 36 mata, semakin jauh di atas zon relegasi.

Bagaimana Hodgson melakukannya?

Bekas pengurus England itu sudah menemui cara untuk bakat-bakat luar biasa di barisan serangan Palace -- Wilfried Zaha, Michael Olise dan Eberechi Eze – dapat benar-benar menyerlahkan keupayaan mereka yang tidak mampu ditunjukkan ketika dibawah kendalian Vieira sebelum ini.

Namun, di sebalik mampu bernafas dengan lega susulan kemenangan 2-0 ke atas kelab tercorot, Southampton, di St Mary’s semalam hasil jaringan berganda Eze, dia belum bersedia untuk mengendurkan usaha gigihnya.

“Saya kini berasa lebih selesa kerana kami sedang menuju ke jumlah mata yang saya fikir mencukupi untuk kami kekal dalam liga ini.





“Tapi saya mahu melihat kami mengutip beberapa mata lagi. Di samping itu, saya mahu lihat pasukan ini terus bermain seperti yang ia mampu kerana musim ini ternyata sukar buat kami,” katanya seperti dipetik The Independent.

Eze adalah pemangkin kepada kemenangan Palace ke atas Southampton dengan menyudahkan satu lantunan selepas percubaan Jordan Ayew hanya mampu ditampan penjaga gol tuan rumah, Gavin Bazunu.

Jaringan keduanya pula menyaksikan dia melepaskan diri daripada pertahanan yang membayanginya sebelum merembat rendah ke penjuru gawang gol.

Eze kini telah menyumbat tujuh gol dalam EPL musim ini, lebih daripada mana-mana pemain Palace yang lain.

“Kami memberitahunya yang kami akan mengerah keupayaan terbaik daripadanya dengan menetapkan cara pasukan bermain dan apa yang dia perlu lakukan ialah untuk menjadi Eberechi Eze, itu saja.






“Saya fikir pesanan itu amat mudah dan tindak balasnya pula amat bertepatan. Dalam tiga perlawanan ini (selepas menentang Leicester City dan Leeds United), kita kini melihat semula Eze sebenar ketika dia mula-mula tiba di kelab ini,” katanya lagi.

Sementara itu, skuad Sang Helang itu turut diceriakan dengan khabar pemain tengahnya, Olise, sedia menolak tawaran perpindahan ke Arsenal akhir musim ini.

Olise, yang menyertai Crystal Palace daripada Reading pada 2021, memiliki dua gol dan lapan bantuan jaringan pada namanya daripada 30 penampilan dalam liga musim ini.

Dia juga adalah pencetus utama dengan tiga bantuan jaringan ketika mereka membenam Leeds 5-1, hujung minggu lalu.

Seterusnya, Crystal Palace menantikan peluang untuk meneruskan rentetan kebangkitan cemerlang mereka ketika berdepan Everton pada 22 April.

Harus tidak salah untuk Hodgson berkira-kira untuk kemenangan keempat berturut-turut.