Presiden Barcelona, Joan Laporta, memberi isyarat perbelanjaan kelab masih belum berlebihan apabila dilaporkan sedia menyasarkan Bernardo Silva sekiranya Xavi menginginkan kelibatnya.

Pemain tengah Manchester City itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sebagai pengganti berpotensi kepada Frenkie de Jong yang dikhabarkan menarik minat Manchester United dan Chelsea.

Barca telah pun menandatangani Robert Lewandowski, Raphinha, Franck Kessie, Andreas Christensen dan Jules Kounde sepanjang jendela perpindahan ini walaupun timbul persoalan adakah kelab itu mampu mendaftarkan mereka.



Bercakap dalam sidang media ketika memperkenalkan Kounde yang dibeli daripada Sevilla, Laporta menjelaskan situasi semasa mengenai pendaftaran pemain dengan menyatakan: "Kami optimistik. Kami melakukan segala yang mampu untuk mendaftarkan pembelian baru.

"Saya harap tafsiran yang kami berikan tentang peraturan itu sama seperti LaLiga. Kami masih ada masa hingga 13 Ogos ini."

Apabila ditanya sama ada kelab itu sedia menambah muka baru, dia menjawab: "Mula-mula kami perlu mendaftarkan pemain, kemudian kami akan melihat apa yang perlu dilakukan seandainya (pengurus Barcelona) berhajat menambah pemain."