ACLE
Beraksi di kelab luar negara? Ini jawapan Arif Aiman
Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, semakin mencuri tumpuan tidak kira dalam saingan domestik atau di peringkat Asia.
Setakat ini, pemain berusia 22 tahun itu telah menjaringkan 12 gol dalam saingan liga tempatan dan empat gol dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.
Empat jaringan itu meletakkan pemain sayap lincah berkenaan berada di tangga kesembilan senarai penjaring terbanyak ACLE, setara dengan nama-nama besar seperti Akram Afif (Al-Sadd), Riyad Mahrez (Al-Ahli) dan Ivan Toney (Al-Ahli).
Dengan peningkatan prestasi yang luar biasa itu, ada yang berpandangan sudah sampai masanya untuk Arif Aiman berkelana di luar negara untuk meningkatkan prestasinya.
Bagaimanapun, dalam satu sesi soal jawab bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Arif Aiman berkata buat ketika ini dia hanya mahu mengekalkan tahap tertinggi bersama JDT.
"Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi di tahap tertinggi untuk JDT.
"Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.
"Saya rasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan mmeletakkan sasaran tinggi," katanya.