LIGA SUPER MSIA

Belum ada keputusan muktamad

Penulis Jemputan 31/05/2017 | 05:02 MYT
Timbalan Presiden persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, akan mengumumkan nama pengendali baru Melaka selepas melepaskan jurulatih, Eric Williams, minggu ini.
Pada minggu lalu, Williams direhatkan dalam perlawanan Liga Super menentang Felda United di Jengka.
Melaka United yang baru dinaikkan ke Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana tahun lalu, kini terperosok di kelompok bawahan liga selepas aksi yang tidak konsisten sepanjang musim ini.
Nama bekas jurulatih negara, K. Rajagobal, dan bekas pengendali Kedah, Azraai Khor Abdullah, adalah antara yang disebut-sebut bakal mengisi kerusi panas skuad Kancil itu.
"Kami perlu lakukan perubahan besar-besaran walaupun pada asalnya hanya dua pemain import yang akan ditukarkan tetapi sekarang kami mula memikirkan untuk menukar tiga pemain import," kata Yusoff.
"Mengenai kedudukan jurulatih dan pemain, kami berada dalam penilaian terakhir dan keputusan akan dimuktamadkan pada hujung minggu ini," ujarnya.
Yusoff jelas serius dalam memantapkan semula skuad Melaka apabila turut mendapatkan khidmat bekas pemain Harimau Muda, Fandi Othman, Nor Hakim Isa dari Perak serta Nicholas Swirad dari Johor Darul Ta'zim II.
#Melaka United
;