Bekas penjaring gol terbanyak Liga Colombia bakal perkuat Selangor FC?
Muzaffar Musa
Januari 27, 2023 21:53 MYT
Januari 27, 2023 21:53 MYT
Bekas penjaring gol terbanyak liga Colombia, Ayron del Valle, dikaitkan untuk menyertai Selangor FC dalam masa terdekat.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Nadi Arena hari ini, penyerang itu berkemungkinan besar akan diumumkan dalam Majlis Hari Jersi Selangor esok.
Status penyerang import Selangor FC kini menjadi tumpuan selepas penggempur utama mereka musim lalu, Herlison Caion, berpindah ke pasukan seteru setempat, Kuala Lumpur City FC.
Keadaan itu sudah pasti memacu tumpuan segenap penyokong Merah Kuning, yang mahukan seorang pengganti lebih baik, dan Del Valle kini disebut-sebut sebagai pemain yang akan mengisi kekosongan itu.
Penyerang berusia 34 tahun itu dilaporkan sudah bersetuju untuk menyertai Selangor selepas tidak memperbaharui kontraknya bersama Once Caldas.
Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, bagaimanapun, masih belum bersedia untuk memberikan sebarang pengesahan mengenai perkara itu.
"Kami masih menantikan penyerang import baru yang akan menggantikan Caion dalam masa terdekat ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Pihak pengurusan akan mengumumkannya dan kami berharap penyerang berkenaan akan dapat memberikan impak yang tepat dan kombinasi betul buat pasukan.
"Kami tidak mahu memberikan tekanan atau permintaan yang terlalu tinggi, kami akan bermula dengan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya.