Bekas bintang Manchester United tinggalkan bola sepak
Muzaffar Musa
Disember 9, 2024 13:43 MYT
Disember 9, 2024 13:43 MYT
Bekas bintang Manchester United dan Portugal, Luis Nani, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 38 tahun.
Bekas pemain sayap itu menutup kariernya selaku pemain gemilang pada eranya, yang bermula di Sporting CP, di mana dia bersama pasukan itu dalam tiga tempoh berbeza.
Kemuncak karier Nani tiba sewaktu tempoh lapan tahunnya menyarung jersi Manchester United, di mana dia menjulang empat trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Dunia Kelab.
Dia juga merupakan sebahagian daripada pasukankebangsaan Portugal sewaktu memenangi Euro 2016, mengetuai pasukan itu ketika aksi final menentang Perancis, di mana Cristiano Ronaldo terpaksa dikeluarkan pada awal permainan gara-gara kecederaan.
Nani melakukan 112 penampilan antarabangsa dari 2006 hingga 2017, menjadikannya pemain kelima dengan rekod penampilan terbanyak Selecao dan mewakili negara itu dalam lima kejohanan utama.
"Masanya sudah tiba untuk mengucapkan selamat tinggal, saya telah memutuskan untuk menamatkan kerjaya saya sebagai pemain profesional," tulisnya dalam media sosial.
“Ia adalah satu perjalanan yang menakjubkan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang telah membantu saya dan menyokong saya melalui suka dan duka sepanjang kerjaya yang berlangsung lebih 20 tahun ini dan memberikan saya banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan.
"Masa untuk membuka lembaran baru dan fokus kepada matlamat dan impian baru," katanya.